Sudah tiba masanya perang antara Azmin dan Khalid ini ditamatkan kerana perkara yang sebegini hanya akan terus memecahbelahkan parti.
Adakah sokongan terhadap Azmin Ali semakin berkurangan, atau kebanyakan dari mereka mengelak dari terlibat dengan apa yang dilihat sebagai membelakangkan keputusan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim?
Himpunan solidariti semalam bagi mendesak jawatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS dikekalkan mendapat sambutan dingin kerana hanya 25 orang hadir walau SMS mengenai himpunan tersebut telah mula tersebar sejak Selasa.
Tindakan Azmin dan ‘orang-orang kanannya’ di Selangor seperti Aminuddin Shaari dan Abdullah Sani merealisasikan himpunan tersebut sebenarnya melanggar kemahuan Anwar yang membantah ianya diadakan.
Mustahil Azmin tidak menerima memo mengenai bantahan Anwar sedangkan perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik parti.
Soalnya, mengapa Azmin bertindak meneruskan himpunan tersebut walau telah ‘dinasihatkan’ untuk memilih cara yang lebih diplomatik bagi menyelesaikan masalahnya dengan PKNS dan juga Khalid?
Mungkin Azmin telah bulat dengan keputusannya juga yakin bahawa dia sudah mempunyai sokongan kuat dari akar umbi parti untuk tidak menghiraukan kemahuan Ketua Umum parti yang juga mentornya, Anwar Ibrahim? Mungkin juga ini langkah permulaan Azmin untuk keluar dari bayangan Anwar.
Sudah tiba masanya perang antara Azmin dan Khalid ini ditamatkan kerana perkara yang sebegini hanya akan terus memecahbelahkan parti, dan dengan pemilihan parti yang semakin hampir, PKR kini lebih berpuak-puak bila sepatutnya mereka lebih bersatu bagi memastikan parti terus relevan.
Anwar pula tidak sepatutnya terbuai dengan permasalahan remeh seperti isu pengundi Bangladesh juga kegagalan memohon visa bila dia perlu lebih serius dalam menangani masalah dalaman PKR yang semakin meruncing apatah lagi kini Azmin sudah semakin berani mencabarnya.
Kebanyakan generasi pemimpin muda dalam PKR seperti Azmin, Tian Chua dan Rafizi Ramli pula hanya pandai memanipulasi isu kecil daripada berusaha untuk memantapkan parti.
Aset terbaik yang mungkin dimiliki PKR waktu ini mungkin Nurul Izzah, namun Nurul bukanlah isu di sini tetapi Azmin.
Perlukah Anwar berhati-hati terhadap Azmin yang kini sudah mula berani menggerakkan orang-orang suruhannya secara terbuka?
Adakah Anwar dapat terus mempertahankan PKR dari ancaman dalaman parti sendiri?
Soalan-soalan seperti ini patut dijawab terlebih dahulu sebelum mencorak strategi untuk PRU14 kerana kegagalan Anwar untuk lebih tegas dalam memutuskan apa yang terbaik untuk parti akan menjadi kayu pengukur sama ada PKR berjaya atau tidak di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment